Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Mac. – Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA) menerima sumbangan berjumlah BND40,750 daripada 54 penyumbang, terdiri daripada syarikat perniagaan dan individu dari Persatuan Fuzhou Shiyyi.
Majlis penyerahan sumbangan berkenaan berlangsung di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), di sini.
Sumbangan-sumbangan berkenaan diterima oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA.
Manakala, penyerahan cek contoh (mock check) disampaikan oleh Pengerusi Persatuan Fuzhou Shiyyi, Dr. Andy Lau Sie Chuong.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DANA.
DANA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan dan kemurahan hati para penyumbang dalam membantu usaha berterusan DANA untuk memperkasa kesejahteraan anak-anak yatim di Negara Brunei Darussalam.
Sebagai sekretariat DANA, YSHHB akan terus memainkan peranannya dalam mengurus dan menyalurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.